Salam Ramadhan al-Mubarak!
Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, kita semua tahu yang sejenis buah yang sinonim dengan bulan puasa ni tak lain tak bukan iaitu buah kurma ataupun dikenali sebagai tamar dalam bahasa Arab.
Dan juga sebagaimana semua samada dah tahu ataupun belum tahu, kurma ada macam-macam jenis, bukan sahaja baka kurma itu sendiri (beza kurma Ajwa dengan kurma Safawi) malahan juga tahap kematangan kurma itu sendiri ada namanya tersendiri.
Tahap Kematangan
Kadang-kadang kurma sering dipanggil sebagai tamar dalam bahasa Arab. Tahukah anda sebenarnya ‘tamar’ itu adalah merupakan tahap terakhir dalam kematangan buah kurma?

Antara proses kematangan buah kurma dari awal hingga akhir:
1) Hababawk – apabila buah kurma baru tumbuh dari tunasnya dan saiznya teramat kecil.
2) Kimri – apabila putih buah semakin berisi dan berwarna hijau tua
3) Khalal – apabila buah kurma sedikit berisi tetapi masih mentah dengan warna kehijauan dari hijau tua kepada muda. Tidak dipetik mahupun dijual namun sesetengah golongan tua terutamanya di Emiriah Arab Bersatu gemar memakannya.
4) Besr – apabila buah kurma mula bertukar rupa dari hijau kepada kuning dan mula matang di pokok.
5) Rutab / Rotab – Buah Kurma yang sudah masak penuh dan belum menjadi kering. Rutab yang paling bernilai adalah rutab yang masih berair (juicy) kerana terdapat hadis sahih mengenai sunnah berbuka puasa dengan rutab.
lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88).
Diriwayatkan oleh Anas ibn Malik:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٌ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ
Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, status hadis : hasan)
Kurma pada peringkat ini sekiranya masih pada peringkat awalnya (yang berair dan kulitnya tidak kering) agak mahal sedikit kerana kos eksport untuk mengekalkan kesegarannya.
6) Tamar – Peringkat terakhir buah kurma yang sudah kering sepenuhnya dan tidak lagi mempunyai rasa berairnya. Kurma pada peringkat ini sedikit murah dan mudah didapati kerana mempunyai jangka hayat yang panjang, bergantung pada kultivar kurma. Namun seperti buah-buahan yang lain, kurma juga lama – kelamaan akan mula reput, layu, dan rasanya mulai masam.
Kultivar / Jenis Kurma
Tak semua buah tamar yang kering tu sama jenis / kultivar. Seperti buah-buahan yang lain ada kultivar kurma unik yang hanya terdapat di kawasan atau negara tertentu sahaja dan tidak dapat ditanam di kawasan lain disebabkan beberapa faktor tertentu.
Menurut Wikipedia, terdapat lebih 400 jenis kurma yang direkodkan di seluruh dunia terutama sekali di Timur Tengah. Ini kerana terdapat negara diluar Timur Tengah yang iklimnya sesuai untuk ditanam buah kurma seperti di California Amerika Syarikat, China, Australia dan negara kita Malaysia.
Namun jenis kurma yang sering diimport di Malaysia ada beberapa jenis sahaja.
Jenis kurma yang popular:
Ajwa

Banyak terdapat di: Madinah, Arab Saudi
Kurma yang bewarna kehitam-hitaman, saiznya sederhana (juga terdapat dalam saiz besar dan kecil) dan isinya mampat.
Juga dikenali sebagai “kurma nabi” kerana terdapat lebih daripada satu hadis sahih mengenai khasiat kurma Ajwa.
Diriwayat oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi Muhamamad SAW bersabda :
والعَجوةُ مِنَ الجَنَّةِ، وهي شِفاءٌ مِنَ السُّمِّ
[HR Ahmad (8037), al-Tirmizi (2066) dan Ibnu Majah (3455). Ahmad Syakir menyatakan bahawa sanadnya sahih]
Maksudnya : “Kurma Ajwah itu berasal daripada syurga, dan ia merupakan penawar daripada racun.”
Walaupun kurma ini terdapat di Arab Saudi tetapi subkultivar Ajwa iaitu Ajwa Aliyah mempunyai permintaan yang tinggi kerana Nabi Muhammad SAW turut bersabda mengenai kurma Ajwa Aliyah ini.
Daripada Aisyah R.A bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :
إِنَّ فِي عَجْوَةِ الْعَالِيَةِ شِفَاءً – أَوْ إِنَّهَا تِرْيَاقٌ – أَوَّلَ الْبُكْرَةِ
[HR Muslim (2048)]
Maksudnya : “Sesungguhnya pada kurma Ajwah ‘Aliyah itu ada ubat penyembuh atau ia merupakan ubat penawar bagi racun, apabila dimakan pada awal pagi.”
Safawi

Banyak terdapat di: Madinah, Arab Saudi
Kurma ini juga ditanam di kawasan Madinah di Arab Saudi. Walaupun warnanya gelap tetapi tidak segelap Ajwa. Teksturnya berkedut dan isinya lembut, lembap dan kenyal. Kerana kitaran buahnya yang kerap setiap tahun, kurma Safawi mudah didapati.
Deglet Nour

Banyak terdapat di: Algeria / Tunisia
Juga dikenali sebagai “kurma tangkai” kerana sering dipakej beserta dengan tangkainya. Ianya antara kurma yang popular kerana ianya kering & tahan lebih lama.
Selain itu juga ianya kultivar kurma yang boleh ditanam di banyak tempat di serata dunia seperti negara Chile, Peru, Syria dan wilayah California di Amerika Syarikat.
Medjool

Banyak terdapat di: Palestin
Dipercayai dikenali sebagai “raja kurma” kerana hanya boleh ditanam di tempat-tempat tertentu sahaja seperti contoh di Palestin dan Madinah, Saudi Arabia. Disebabkan kurma ini agak ‘rare’, harganya juga mahal.
Mariami

Banyak terdapat di: Iran
Juga dikenali sebagai kurma Piarom atau “kurma coklat” Merupakan kurma yang banyak ditanam di Teluk Parsi. Isinya separuh lembap dan teksturnya kenyal. Saiz kurma ini panjang sedikit berbanding kultivar kurma yang lain
Barhi

Banyak terdapat di: Jordan
Merupakan kultivar kurma yang mula popular apabila permintaan kurma muda ini meningkat.
Juga dikenali sebagai kurma muda / kurma sejuk. Kebiasaanya kurma jenis ini dieksport ketika peringkat rutab yang paling awal (kuning yang belum masak sepenuhnya) dan dieksport sejuk beku untuk mengekalkan kesegarannya.
Mazafati

Banyak terdapat di: Iran
Juga dikenali sebagai “kurma madu” kerana kulitnya yang kurang kedut, tekstur yang lembut, isinya yang gemuk & tebal, rasanya yang manis seakan kurma dan mudah dikunyah oleh kanak-kanak. Antara kurma popular yang banyak dieksport dan harganya paling murah.
Penafian: Maklumat yang disampaikan pada hantaran ini tidak 100% tepat dan kajian banyak diambil dari rujukan terhad dan juga pengalaman penulis sendiri. Kami mengalu-alukan sebarang pembetulan maklumat dari pembaca.
